July 18, 2009

Pameran Bazaria Berjaya Tarik Ramai Pengunjung

Satu lagi program mega yang dianjurkan sempena Fatrah Mawaddah ialah Bazaria Sri Makmur yang baru sahaja berlangsung pada 14 sehingga 16 Julai lalu.Program yang memakan masa selama 3 hari itu dirasmikan oleh Yang Di Pertua Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang iaitu Ustaz Mohd Ridzuan Bin Abd Aziz.Apa yang menariknya,perasmian itu turut diserikan dengan gimik mengetuk tong gas oleh YDP sebagai simbol bazaria tahun ini.

Dari sudut lain,sambutan dari penender tidak kurang hebatnya iaitu sebanyak 15 penender dari sebelah ikhwah dan 5 penender dari akhawat,tidak termasuk 2 lagi penender yang menjual barang-barang seperti buku,souvenir dan lain-lain lagi di tapak pameran.Menampilkan sedikit kelainan,bazaria kali ini bukan hanya disertai oleh sahabat senegara sahaja,malah warga dari Thailand dan Bangladesh turut tidak ketinggalan memeriahkan lagi Bazaria Sri Makmur dengan memperkenalkan menu istimewa dari tanah air mereka sendiri.

Biarpun pada waktu tertentu jumlah pengunjung yang hadir adakalanya kurang memberangsangkan,namun pameran yang diadakan sepanjang bazaria berlangsung telah berjaya menarik perhatian mereka.Pengunjung yang melawat ke tapak pameran tidak putus-putus dari sebelah petang lagi dan berterusan sehingga ke malam.Antara blok pameran yang mengambil bahagian ialah pameran qiraat yang menganjurkan tahsin Al-Fatihah,pameran medic yang mengadakan medical check up selain pameran yang berkaitan dengan asal-usul dan tempat-tempat yang menarik di negeri Pahang serta pameran BKMIP yang membuka peluang kepada yang hadir untuk mengetahui sejarah BKMIP dan maklumat yang berkaitan dengannya secara langsung disamping permainan baling dat dan teka soalan,juga teka duit syiling.

Hari terakhir Bazaria Seri Makmur dirasmikan penutupnya oleh En.Ahmad Fared Bin Mohd Din selaku pegawai atase Yayasan Pahang Kaherah diikuti dengan penyampaian hadiah kepada gerai terbersih dan juga saguhati kepada adhock pelaksana yang bekerja keras sepanjang bazar berlangsung.Semoga objektif yang diharapkan melalui program ini,tercapai dengan jayanya..Wallahua’lam…


July 1, 2009

Hikmah 09’ Buah Tangan Pertama Sempena Cuti Musim Panas

Kemeriahan Hari Keluarga BKMIP (HIKMAH 09’) mewarnai awal percutian musim panas bagi anak-anak Pahang yang bermukim di Perlembahan Nil ini.Hampir 3 bulan lamanya bertungkus-lumus menghadap kitab-kitab kuliah dan setelah fatrah imtihan melabuhkan tirainya,HIKMAH 09’ dilihat satu wacana yang terbaik bagi mahasiswa/i untuk bersantai sambil melapangkan mental dan fizikal mereka.Hari keluarga yang cukup sinonim sebagai buah tangan BKMIP saban tahun itu masih lagi mengangkat tema ukhuwah,namun kali ini lebih meluas perannya iaitu “Tautkan Ukhuwwah Revolusi Ummah”

Apa yang menariknya,perasmian HIKMAH 09’ pada malam 22 Jun oleh timbalan Yang Dipertua BKMIP itu turut menggandingkan perasmian Fatrah Mawaddah (FATMA) sebagai program induknya.Hampir 4 hari berkampung,pelbagai aktiviti ilmiah dan sukan dipertandingkan.Antaranya debat bahasa Melayu dan bahasa Arab,pidato,nasyid,hafazan dan lain-lain.Acara sukan pula adalah takraw,bola tampar,futsal,pingpong dan pelbagai lagi acara sukaneka yang menampilkan pembaharuan berbanding sebelumnya.Sebanyak empat kumpulan bagi ikhwah,manakala tiga kumpulan lagi mewakili akhawat dengan keunikan maskot dan slogan tersendiri menambah kecerian HIKMAH 09’.

Tidak hanya mementingkan sudut jasmani semata-mata,malah HIKMAH 09’ turut mengambil kira pengisian rohaninya seperti kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul Bin Ahmad Nasir,juga forum siswa yang mengetengahkan mahasiswa/i tahun akhir sebagai pengisi slot iaitu Ustaz Mustafa Mat Nor,Ustaz Ariffin Ibrahim dan Ustazah Tuan Siti Nazifah Tuan Long.

Detik kemuncak program bermula pada 25 Jun malam dengan majlis perasmian penutupan HIKMAH 09’ oleh pegawai Yayasan Pahang Kaherah,Ustaz Fared Bin Mohd Din dan diserikan dengan gimik,acara penyampaian hadiah kepada pemenang,slide show,persembahan nasyid dan jamuan makan.Secara keseluruhannya,HIKMAH 09’ kali ini berjaya mencapai objektifnya antaranya mengeratkan ukhuwah,membentuk semangat berpasukan,dan mencungkil bakat baru.