Oleh: USTAZAH NAZATUL MAHIRAH BINTI BAHARUDDIN
(Unit Kesenian, Kebudayaan & Sukan BKMIP Sesi 2018/2019)
Definisi
hiburan ialah peristiwa,persembahan atau kegiatan yang direka bentuk untuk
memberi nikmat kepada penonton.
Misalnya, melalui muzik,seni suara ,tarian,,sukan dan sebagainya.Jadi apakah
hukum berhibur menurut Islam?
Islam merupakan agama yang diturunkan oleh
Allah SWT bersesuaian dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan
dan apakah hukum berhibur dari pandangan Islam?
Oleh kerana itu, Islam membenarkan manusia
berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan
didengar itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan. Majoriti ulama besar seperti Shafie, Maliki dan Qurtubi berpendapat
bahawa nyanyian yang biasa dinyanyikan dalam kehidupan harian seperti nyanyian
untuk meringankan angkat barang yang berat, meringankan perjalanan musafir,
mempercepatkan perjalanan ke medan perang, menenangkan anak menangis, adalah
dibenarkan.
Begitu juga dibolehkan mencipta syair yang
menggalakkan mencintai akhirat, bencikan keburukan dunia, nyanyian di majlis
perkahwinan dan menggalakkan ketaatan kepada Allah SWT serta berakhlak mulia.
Jika perhatikan dalam memahami nas daripada al-Quran dan hadis tentang nyanyian
menunjukkan pada dasarnya nyanyian itu tidak haram, tetapi hukumnya berubah
menjadi haram disebabkan mengandungi seni kata lucah, memuja dan memuji perkara
haram, persembahan tidak menutup aurat dan pergerakan menaikkan nafsu selain
dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan
sebagainya.
Sheikh Mahmud Shaltut dalam kitab al-Fatawa berpendapat,
mendengar suara indah dan merdu daripada binatang, manusia, apa-apa alat atau
kecenderungan mempelajari sesuatu daripadanya merupakan keinginan memenuhi
tuntutan naluri. Selama perkara itu tidak melalaikan daripada kewajipan agama,
bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka
perkara itu diharuskan. Sekiranya nyanyian dan muzik itu bersih daripada
unsur-unsur haram, maka haruslah mendengarnya. Oleh itu, mendengar nyanyian dan
muzik yang bercampur dengan perkara-perkara haram adalah haram.
Para ulama bersepakat bahawa semua nyanyian yang
mengandungi unsur fasik, pelacuran atau mendorong melakukan maksiat adalah
haram, manakala nyanyian itu sendiri ialah susunan kata-kata, jika baik kata-katanya,
maka baiklah dan jika tidak baik kata-katanya, maka tidak baiklah. Semua
kata-kata yang bercanggah dengan adab dan akhlak Islam adalah haram. Para ulama
juga sepakat mengharuskan nyanyian yang bersih daripada unsur maksiat di
tempat-tempat yang memerlukan hiburan dan kemeriahan yang diharuskan seperti
majlis perkahwinan, orang yang baharu pulang dari musafir, hari-hari raya dan
kebesaran Islam.
Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian
adalah merupakan keperluan naluri semula jadi atau fitrah manusia yang telah
dikurniakan oleh Allah SWT. Menggunakan seni suara untuk tujuan mulia, secara
sederhana dan tidak keterlaluan adalah dibolehkan. Sesungguhnya seni suara
dalam Islam adalah seni yang bermatlamat untuk pengabdian dan kebaktian kepada
Allah SWT. Oleh itu, bagi membolehkan perkembangan seni suara dengan sihat dan
harmoni maka kita memerlukan beberapa petunjuk dan garis panduan untuk itu.
Seterusnya,bagi melaksanakan program yang berbentuk
hiburan misalnya aktiviti bersukan mestilah bermatlamatkan kebaikan dan
kesejahteraan, tidak berlaku bercampur gaul antara lelaki dan perempuan serta
tidak membawa kepada fitnah.Selain itu,tidak disertai dengan perbuatan
maksiat,haram atau menimbulkan gerak geri liar yang mendorong kepada perbuatan
maksiat dan melalaikan.
Islam tidak melarang kita berhibur tetapi ada
batas-batasnya.Ajaran Islam tidak hanya menumpukan ibadat khusus semata-mata,
malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan keinginan manusia. Kekeliruan
berlaku apabila umat Islam terkeliru dalam menentukan hiburan yang dibenarkan
dan tidak dibenarkan mengikut syarak. Aspek ini perlu diperjelaskan dan
diperhalusi bersama agar segala bentuk hiburan yang dinikmati benar-benar
mengikut ketetapan ajaran Islam.
Hiburan dibenarkan dalam Islam, cuma perkara itu perlulah
berlandaskan syariat dan batasan-batasan yang digariskan di dalam Islam.
Kelalaian, kealpaan, pembaziran, munafik dan syirik hanya akan mendatangkan
keburukan kepada umat manusia. Inilah wasatiyyah nilai kehidupan berlandaskan
agama Islam.
Akhirkata, hakikatnya hiburan boleh
membawa kepada kelazatan kepada
seseorang individu, tetapi adakah individu tersebut menerima hiburan yang
membawa kepada kerosakkan jiwa atau memperkukuhkan iman .Marilah kita sama-sama
koreksi diri kita adakah kita telah mengikuti batas-batas berhibur dalam syarak
atau tidak.
Tepuk
dada tanya iman.