August 20, 2019

HIBURAN ANTARA DOSA DAN PAHALA ?


Oleh: USTAZAH NAZATUL MAHIRAH BINTI BAHARUDDIN
(Unit Kesenian, Kebudayaan & Sukan BKMIP Sesi 2018/2019)



 Definisi hiburan ialah peristiwa,persembahan atau kegiatan yang direka bentuk untuk memberi nikmat kepada  penonton. Misalnya, melalui muzik,seni suara ,tarian,,sukan dan sebagainya.Jadi apakah hukum berhibur menurut Islam?

Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah SWT bersesuaian dan menepati fitrah manusia. Manusia memerlukan hiburan dan apakah hukum berhibur dari pandangan Islam?
Oleh kerana itu, Islam membenarkan manusia berhibur. Namun Islam memberikan garis panduan agar hiburan yang dilihat dan didengar itu, betul-betul mendatangkan manfaat kepada kehidupan. Majoriti ulama besar seperti Shafie, Maliki dan Qurtubi berpendapat bahawa nyanyian yang biasa dinyanyikan dalam kehidupan harian seperti nyanyian untuk meringankan angkat barang yang berat, meringankan perjalanan musafir, mempercepatkan perjalanan ke medan perang, menenangkan anak menangis, adalah dibenarkan.

Begitu juga dibolehkan mencipta syair yang menggalakkan mencintai akhirat, bencikan keburukan dunia, nyanyian di majlis perkahwinan dan menggalakkan ketaatan kepada Allah SWT serta berakhlak mulia. Jika perhatikan dalam memahami nas daripada al-Quran dan hadis tentang nyanyian menunjukkan pada dasarnya nyanyian itu tidak haram, tetapi hukumnya berubah menjadi haram disebabkan mengandungi seni kata lucah, memuja dan memuji perkara haram, persembahan tidak menutup aurat dan pergerakan menaikkan nafsu selain dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan sebagainya.

Sheikh Mahmud Shaltut dalam kitab al-Fatawa berpendapat, mendengar suara indah dan merdu daripada binatang, manusia, apa-apa alat atau kecenderungan mempelajari sesuatu daripadanya merupakan keinginan memenuhi tuntutan naluri. Selama perkara itu tidak melalaikan daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka perkara itu diharuskan. Sekiranya nyanyian dan muzik itu bersih daripada unsur-unsur haram, maka haruslah mendengarnya. Oleh itu, mendengar nyanyian dan muzik yang bercampur dengan perkara-perkara haram adalah haram.


Para ulama bersepakat bahawa semua nyanyian yang mengandungi unsur fasik, pelacuran atau mendorong melakukan maksiat adalah haram, manakala nyanyian itu sendiri ialah susunan kata-kata, jika baik kata-katanya, maka baiklah dan jika tidak baik kata-katanya, maka tidak baiklah. Semua kata-kata yang bercanggah dengan adab dan akhlak Islam adalah haram. Para ulama juga sepakat mengharuskan nyanyian yang bersih daripada unsur maksiat di tempat-tempat yang memerlukan hiburan dan kemeriahan yang diharuskan seperti majlis perkahwinan, orang yang baharu pulang dari musafir, hari-hari raya dan kebesaran Islam.

Seni suara sama ada bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah merupakan keperluan naluri semula jadi atau fitrah manusia yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Menggunakan seni suara untuk tujuan mulia, secara sederhana dan tidak keterlaluan adalah dibolehkan. Sesungguhnya seni suara dalam Islam adalah seni yang bermatlamat untuk pengabdian dan kebaktian kepada Allah SWT. Oleh itu, bagi membolehkan perkembangan seni suara dengan sihat dan harmoni maka kita memerlukan beberapa petunjuk dan garis panduan untuk itu.

Seterusnya,bagi melaksanakan program yang berbentuk hiburan misalnya aktiviti bersukan mestilah bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan, tidak berlaku bercampur gaul antara lelaki dan perempuan serta tidak membawa kepada fitnah.Selain itu,tidak disertai dengan perbuatan maksiat,haram atau menimbulkan gerak geri liar yang mendorong kepada perbuatan maksiat dan melalaikan.


Islam tidak melarang kita berhibur tetapi ada batas-batasnya.Ajaran Islam tidak hanya menumpukan ibadat khusus semata-mata, malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan keinginan manusia. Kekeliruan berlaku apabila umat Islam terkeliru dalam menentukan hiburan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan mengikut syarak. Aspek ini perlu diperjelaskan dan diperhalusi bersama agar segala bentuk hiburan yang dinikmati benar-benar mengikut ketetapan ajaran Islam.
Hiburan dibenarkan dalam Islam, cuma perkara itu perlulah berlandaskan syariat dan batasan-batasan yang digariskan di dalam Islam. Kelalaian, kealpaan, pembaziran, munafik dan syirik hanya akan mendatangkan keburukan kepada umat manusia. Inilah wasatiyyah nilai kehidupan berlandaskan agama Islam.
           
Akhirkata, hakikatnya hiburan boleh membawa kepada kelazatan  kepada seseorang individu, tetapi adakah individu tersebut menerima hiburan yang membawa kepada kerosakkan jiwa atau memperkukuhkan iman .Marilah kita sama-sama koreksi diri kita adakah kita telah mengikuti batas-batas berhibur dalam syarak atau tidak.
Tepuk dada tanya iman.

No comments:

Post a Comment