July 1, 2009

Hikmah 09’ Buah Tangan Pertama Sempena Cuti Musim Panas

Kemeriahan Hari Keluarga BKMIP (HIKMAH 09’) mewarnai awal percutian musim panas bagi anak-anak Pahang yang bermukim di Perlembahan Nil ini.Hampir 3 bulan lamanya bertungkus-lumus menghadap kitab-kitab kuliah dan setelah fatrah imtihan melabuhkan tirainya,HIKMAH 09’ dilihat satu wacana yang terbaik bagi mahasiswa/i untuk bersantai sambil melapangkan mental dan fizikal mereka.Hari keluarga yang cukup sinonim sebagai buah tangan BKMIP saban tahun itu masih lagi mengangkat tema ukhuwah,namun kali ini lebih meluas perannya iaitu “Tautkan Ukhuwwah Revolusi Ummah”

Apa yang menariknya,perasmian HIKMAH 09’ pada malam 22 Jun oleh timbalan Yang Dipertua BKMIP itu turut menggandingkan perasmian Fatrah Mawaddah (FATMA) sebagai program induknya.Hampir 4 hari berkampung,pelbagai aktiviti ilmiah dan sukan dipertandingkan.Antaranya debat bahasa Melayu dan bahasa Arab,pidato,nasyid,hafazan dan lain-lain.Acara sukan pula adalah takraw,bola tampar,futsal,pingpong dan pelbagai lagi acara sukaneka yang menampilkan pembaharuan berbanding sebelumnya.Sebanyak empat kumpulan bagi ikhwah,manakala tiga kumpulan lagi mewakili akhawat dengan keunikan maskot dan slogan tersendiri menambah kecerian HIKMAH 09’.

Tidak hanya mementingkan sudut jasmani semata-mata,malah HIKMAH 09’ turut mengambil kira pengisian rohaninya seperti kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul Bin Ahmad Nasir,juga forum siswa yang mengetengahkan mahasiswa/i tahun akhir sebagai pengisi slot iaitu Ustaz Mustafa Mat Nor,Ustaz Ariffin Ibrahim dan Ustazah Tuan Siti Nazifah Tuan Long.

Detik kemuncak program bermula pada 25 Jun malam dengan majlis perasmian penutupan HIKMAH 09’ oleh pegawai Yayasan Pahang Kaherah,Ustaz Fared Bin Mohd Din dan diserikan dengan gimik,acara penyampaian hadiah kepada pemenang,slide show,persembahan nasyid dan jamuan makan.Secara keseluruhannya,HIKMAH 09’ kali ini berjaya mencapai objektifnya antaranya mengeratkan ukhuwah,membentuk semangat berpasukan,dan mencungkil bakat baru.

No comments:

Post a Comment