Laporan Aidiladha 2009/2010


Pengarah : Ustaz Ahmad Hakim b. Samsudin
Tim. Pengarah : Ustazah Siti Farhana bt Abd Razak

Tema : "TADHIYYAH DICERNA WEHDAH DIJANA"

27 NOVEMBER 2009 bersamaan 20 Zulhijjah 1430 H, sekali lagi Allah membuka ruang kepada umat Islam di seluruh dunia merayakan hari yang bersejarah dan penuh kemuliaan ini. Tidak ketinggalan, Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) juga membuat sambutan pada 29 NOVEMBER bagi meraikan kemeriahan Aidil Adha di bumi Mesir.

Pada tahun ini, BKMIP dengan kerjasama Pengurusan Yayasan Pahang Kaherah telah berjaya menyediakan sebanyak 1 ekor unta, 1 ekor lembu dan 4 ekor kambing untuk dijadikan korban. Seawal jam 7.00 pagi, pelajar ikhwah mula berpusu-pusu turun ke kandang binatang korban. Acara korban dimulakan pada jam 7.30 pagi. Seterusnya acara melapah daging korban beramai-ramai dilangsungkan di Dataran Kompleks Pahang. Sementara daging korban dilapah, pelajar perempuan sibuk bergotong royong membuat persiapan untuk acara dewan. Pada sebelah petangnya pula, pelajar ikhwah bergotong-royong memasak daging korban tersebut.

Seusai solat isyak bermulalah acara dewan yang dinanti-nantikan. Kehadiran ahli BKMIP pada kali ini agak memberangsangkan iaitu dengan kehadiran ramai pelajar dirasat dan perubatan yang dianggarkan hampir 200 orang. Ini kerana sambutan Aidil Adha kali ini menyajikan persembahan yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kehadiran jemputan VIP tiba seawal jam 8.00 malam. Antara jemputan yang hadir, Pegawai Atase Pendidikan Yayasan Pahang,Encik Ahmad Fared b. Mohd Din dan sekeluarga, President PMRAM Us Abdul Muiz b. Mohamad serta beberapa orang Badan Pengurus dan Hewi PMRAM yang lain.

Acara kemuncak yang dinanti telah pun tiba. Persembahan daripada En. Mohd Fared mendapat tepukan dan sorokan yang gemuruh daripada ahli BKMIP yang hadir.Beliau telah mendendangkan sebuah lagu nasyid yang telah dipopularkan oleh kumpulan BROTHERS, ditujukan khas buat isteri yang tercinta.Seterusnya beliau mendeklamasikan syair arab yang bertajuk Al-Hub.

Di samping itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Ajkt ikhwah tahun ini. Malah pelajar- pelajar baru juga mengambil kesempatan dengan membuat persembahan pentomen yang mendapat sambutan dan persembahan nasyid dari kumpulan Syabab Al – Makmur. Berakhir kesemua persembahan, para jemputan dan ahli dihidangkan dengan sajian yang menyelarakan antaranya ialah kurma unta, rendang daging , gulai kambing, acar sayuran dan sedikit kuih raya.

Lewat jam 11.30 malam ahli BKMIP mula mengosongkan dewan pulang ke destinasi masing-masing.Semoga keindahan Aidil Adha kali ini akan sentiasa tersemat dihati kami selamanya dan mendapat keberkatan dariNYA. AMEEN YA RAB…

Perutusan Eidul Adha YDP BKMIP 1430 H


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahau Akbar, Allahu Akbar,
Allaahu Akbar, Walillahilhamd..

Segala pujian ke atas Yang Maha Bersyukur..Selawat dan salam buat Penghulu kepada golongan–golongan yang bersyukur..Juga kepada ahli keluarga dan sahabat – sahabat Baginda S.A.W..

Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberi kesempatan kepada kita semua untuk terus dapat menjalankan ibadah-ibadah dengan sejahtera.. Diberikan lagi kepada kita peluang untuk beribadah di awal Zulhijjah, diberikan kita peluang untuk berpuasa di awal 10 Zulhijjah, diberikan kita peluang untuk bertakbir memuji kebesaranNya pada Aidil Adha tahun ini..Juga diberikan lagi kesempatan untuk kita menjalankan ibadah korban, bermaaf-maafan, berkasih sayang, tolong-menolong, dan berhimpun membesarkan Allah S.W.T..

Sahabat – sahabat kaum muslimin sekalian….

Tidak dinafikan bahawasanya ujian, cabaran, dugaan yang telah ditimpakan oleh Rabbul Izzati kepada para Anbiya’ adalah tersangat besar untuk dibandingkan dengan ujian-ujian yang menimpa kita yang selepas zaman mereka..Bukan kita ingin membanding-bandingkan antara kita dan para Anbiya’, tetapi yang kita perlu lihat dan contohi ialah bagaimanakah mereka-mereka para Anbiya’ itu menempuh dan menghadapi segala dugaan mereka.. Mereka dengan berbekalkan kesabaran, ketabahan, kesungguhan yang penuh dan jitu, mampu untuk menempuh segala yang ujian dengan keadaan bersahaja dan yakin kepada Allah S.W.T.. Dan yang paling penting dapat saya terjemahkan di sini yang bertepatan dengan Aidil Adha ini ialah pengorbanan mereka dalam menempuh segala cabaran dan dalam mengamalkan segala perintah dan suruhan Allah bermatlamatkan keredhaanNya dan penyebaran Agama Islam di muka bumi ini agar kita semua manusia mendapat keredhaan sepertimana yang telah mereka kecapi dan agar kita semua mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat..

Mereka–mereka para Anbiya’ ini telah berkorban segala apa yang ada pada mereka adalah untuk kebaikan kita..Tetapi, adakah kita selaku Umat Islam hargai pengorbanan mereka ini.???Adakah kita yang telah dipermudahkan jalan oleh para Anbya’ ini hanya mensia-siakan pengorbanan mereka.???

Sahabat-sahabat kaum muslimin sekalian..

Pengorbanan adalah suatu perkara yang perlu ada bagi setiap individu muslim dalam untuk beramal dengan segala perintah dan suruhan Allah S.W.T terutamanya dalam berdakwah dan menyebarkan Syiar Islam..Sama ada ianya berbentuk nyawa, harta benda, masa, tenaga, dan apa–apa sahaja yang dapat kita korbankan..Persoalannya,, apakah kita mampu berkorban untuk diri kita sendiri.??Ataupun kita mampu berkorban demi kepentingan Islam, muslimin, dan manusia sejagat.??Ataupun kita tidak mampu langsung berkorban, bahkan hanya menunggu sahaja orang lain yang berkorban untuk kita.??? Tepuk kepala tanya ilmu..Tepuk dahi tanya amalan..

Kita mestilah dan sepatutnya mengambil iktibar dari kisah para Anbiya’, tabiin, tabi’ tabiin dan salafuna as-solihin supaya dapat kita aplikasikan dalam kehidupan kita untuk menuju redha Allah dan menuju kesejahteraan sejagat dari dunia hingga ke akhirat. Ini bagi membuktikan bahawasanya jika kita tidak mampu untuk berkorban sebagaimana pengorbanan para Anbiya’ dan salafuna solihin sekalipun, tetapi sekurang–kurangnya kita menghargai pengorbanan-pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka kepada kita semua..Agar dengan usaha dan kerja kita yang sedikit itu mudah–mudahan itu dapat menggolongkan kita dalam golongan hamba –hamba Allah yang bersyukur..Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “sedikit sahaja hamba-hamba aku yang bersyukur”

Sahabat –sahabat kaum muslimin sekalian…

*Moh lah kita sama-sama menghayati pengorbanan para Anbiya’, sama-sama kita menghalusi erti Aidil Adha yang sebenarnya, dan sama-sama kita menyerapi takbir-takbir mengagungkan Allah S.W.T..Agar ianya dapat menjadi kekuatan kepada kita dalam menempuh dan menjalani kehidupan di muka bumi ini yang tidak diketahui bilakah ianya akan berakhir…

Semoga Islam terus terjulang sebagai cara hidup dalam setiap pelosok ceruk dunia dan dalam setiap hati umat Islam hingga ke akhir nanti..

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar…Walillahilhamd..


Selamat Hari Raya Aidil Adha..Mohon Maaf Zahir Batin..Kullu Am wa antum bialfi khair…
(Dari kami barisan AJKT BKMIP & HEWI 09/10)

_Hamba dhoif yang ingin berkorban_
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan MAhasisswa/wi Islam Pahang,
Sesi 2009/2010

*Moh = mari (Bahasa Pahang)

Kalam Naib Pengerusi Hewi BKMIP Sesi 2009/2010

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله وكفى بالله شهيدا. أشهد أن لااله الاالله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله. اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه أجمعين.

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat iman, islam, kesatuan dan kebersamaan bagi meneruskan lagi agenda dakwah dan melaksanakan amanah daripada Allah SWT di Perlembahan Nil ini. Sejambak selawat dan salam jua dihadiahkan kepada Baginda Rasulullah SAW, para sahabat, penyambung risalah dakwah dan seterusnya para pejuang Addinul Haq di sepanjang zaman dan tempat.

Dalam derap langkah perjuangan mengusung Deen Islami ke puncak asalnya, sering mengundang penat lelah dalam jerih menggapai impian, lantaran paluan ganas badai jahiliah dan rempuhan padu arus ‘ilmani meroboh benteng ‘aqidah, syariat serta syaksiah ummah.

Firman Allah Taala:

ياأيها الذي ءامنوا انتنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم

“Wahai orang-orang yang beriman, Sekiranya kamu menolong (agama Allah), nescaya Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan pendirian kamu” (Surah Muhammad :7)

Walaupun pelbagai mehnah, pahit dan manis bakal dilalui untuk membawa Deen Islami seterusnya mendukung agenda dakwah dan kepimpinan, namun derapan perjuangan tetap diteruskan dengan adanya keyakinan terhadap Janji Ilahi seperti firman diatas.

Bagi memastikan survival dakwah dan kelangsungan BKMIP di Ardil Kinanah berterusan, agenda tarbiyah yang tergendala pada sesi lepas akan diteruskan oleh Pimpinan AJKT BKMIP 09/10.

Dengan membawa Motto BELAJAR & BERAMAL, Pimpinan AJKT BKMIP 09/10 menggembleng tenaga bagi memastikan misi Tarbiyah dan Thaqafah dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.Walaupun begitu ia perlu digarapkan bersama bukan sahaja diperingkat AJKT BKMIP malah perlu mendapat kerjasama daripada semua ahli disamping kita mempergiatkan Da’wah Fardhiah dan ‘Al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar. Senstiviti terhadap permasalahan yang berlaku juga perlu dipupuk dikalangan mahasiwa/i agar perjalanan budaya mahmudah mekar berkembang di Perlembahan Nil ini.

Mahasiswa pemangkin harapan Ummah, begitu besar tanggungjawab kita selaku yang pelajar malah kita juga merupakan pencorak generasi akan datang. Kecemerlangan akademik adalah satu kayu ukur utama di mata masyarakat. Lebih-lebih lagi amanah ilmu yang terpundak di bahu kita merupakan satu wasilah untuk memperkembangkan dakwah seterusnya mengaplikasikan segala teori yang kita dapati di dewan kuliah.

Konsep pembelajaran yang teratur dan bermotivasi adalah satu usaha untuk mencapai kejayaan. Berkata Imam ‘Atoillah dalam syairnya, “Di antara alamat kejayaan di akhir adalah kembali kepada Allah pada permulaanya. Barangsiapa yang gemilang awalnya nescaya gemilang pada akhirnya.”

Tuntasnya,bagi menggarap ilmu dan kecemerlangan di kalangan ahli, BKMIP akan mengambil beberapa langkah dan inisiatif antaranya mewujudkan Study Group, menyusun kelas-kelas Tutorial, mengadakan program berbentuk motivasi, menganjurkan Night Prep, dan sebagainya.Usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk memastikan peratusan kecemerlangan akademik di kalangan mahasiswa/i lebih memberangsangkan semua pihak.

Konklusinya, saya selaku Naib Pengerusi HEWI sesi 09/10 mengharapkan kepada semua agar dapat menggembleng tenaga bagi menjayakan usaha-usaha murni ini. Tanpa semua ahli, BKMIP tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan dakwah di Perlembahan Nil ini. Seterusnya jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penaung, Pegawai Yayasan Pahang, Mantan AJKT BKMIP 08/09, Saff Kepimpinan AJKT BKMIP 09/10 dan seluruh mahasiswa/i di atas sokongan, dokongan dan keprihatinan kalian selama ini. Semoga usaha kalian memberi manfaat yang berterusan. Syukran Jazilan.

Wassalam.

Majlis Korban & Sambutan Aidiladha 1430 H

Pameran Bazaria Berjaya Tarik Ramai Pengunjung

Satu lagi program mega yang dianjurkan sempena Fatrah Mawaddah ialah Bazaria Sri Makmur yang baru sahaja berlangsung pada 14 sehingga 16 Julai lalu.Program yang memakan masa selama 3 hari itu dirasmikan oleh Yang Di Pertua Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang iaitu Ustaz Mohd Ridzuan Bin Abd Aziz.Apa yang menariknya,perasmian itu turut diserikan dengan gimik mengetuk tong gas oleh YDP sebagai simbol bazaria tahun ini.

Dari sudut lain,sambutan dari penender tidak kurang hebatnya iaitu sebanyak 15 penender dari sebelah ikhwah dan 5 penender dari akhawat,tidak termasuk 2 lagi penender yang menjual barang-barang seperti buku,souvenir dan lain-lain lagi di tapak pameran.Menampilkan sedikit kelainan,bazaria kali ini bukan hanya disertai oleh sahabat senegara sahaja,malah warga dari Thailand dan Bangladesh turut tidak ketinggalan memeriahkan lagi Bazaria Sri Makmur dengan memperkenalkan menu istimewa dari tanah air mereka sendiri.

Biarpun pada waktu tertentu jumlah pengunjung yang hadir adakalanya kurang memberangsangkan,namun pameran yang diadakan sepanjang bazaria berlangsung telah berjaya menarik perhatian mereka.Pengunjung yang melawat ke tapak pameran tidak putus-putus dari sebelah petang lagi dan berterusan sehingga ke malam.Antara blok pameran yang mengambil bahagian ialah pameran qiraat yang menganjurkan tahsin Al-Fatihah,pameran medic yang mengadakan medical check up selain pameran yang berkaitan dengan asal-usul dan tempat-tempat yang menarik di negeri Pahang serta pameran BKMIP yang membuka peluang kepada yang hadir untuk mengetahui sejarah BKMIP dan maklumat yang berkaitan dengannya secara langsung disamping permainan baling dat dan teka soalan,juga teka duit syiling.

Hari terakhir Bazaria Seri Makmur dirasmikan penutupnya oleh En.Ahmad Fared Bin Mohd Din selaku pegawai atase Yayasan Pahang Kaherah diikuti dengan penyampaian hadiah kepada gerai terbersih dan juga saguhati kepada adhock pelaksana yang bekerja keras sepanjang bazar berlangsung.Semoga objektif yang diharapkan melalui program ini,tercapai dengan jayanya..Wallahua’lam…


Hikmah 09’ Buah Tangan Pertama Sempena Cuti Musim Panas

Kemeriahan Hari Keluarga BKMIP (HIKMAH 09’) mewarnai awal percutian musim panas bagi anak-anak Pahang yang bermukim di Perlembahan Nil ini.Hampir 3 bulan lamanya bertungkus-lumus menghadap kitab-kitab kuliah dan setelah fatrah imtihan melabuhkan tirainya,HIKMAH 09’ dilihat satu wacana yang terbaik bagi mahasiswa/i untuk bersantai sambil melapangkan mental dan fizikal mereka.Hari keluarga yang cukup sinonim sebagai buah tangan BKMIP saban tahun itu masih lagi mengangkat tema ukhuwah,namun kali ini lebih meluas perannya iaitu “Tautkan Ukhuwwah Revolusi Ummah”

Apa yang menariknya,perasmian HIKMAH 09’ pada malam 22 Jun oleh timbalan Yang Dipertua BKMIP itu turut menggandingkan perasmian Fatrah Mawaddah (FATMA) sebagai program induknya.Hampir 4 hari berkampung,pelbagai aktiviti ilmiah dan sukan dipertandingkan.Antaranya debat bahasa Melayu dan bahasa Arab,pidato,nasyid,hafazan dan lain-lain.Acara sukan pula adalah takraw,bola tampar,futsal,pingpong dan pelbagai lagi acara sukaneka yang menampilkan pembaharuan berbanding sebelumnya.Sebanyak empat kumpulan bagi ikhwah,manakala tiga kumpulan lagi mewakili akhawat dengan keunikan maskot dan slogan tersendiri menambah kecerian HIKMAH 09’.

Tidak hanya mementingkan sudut jasmani semata-mata,malah HIKMAH 09’ turut mengambil kira pengisian rohaninya seperti kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul Bin Ahmad Nasir,juga forum siswa yang mengetengahkan mahasiswa/i tahun akhir sebagai pengisi slot iaitu Ustaz Mustafa Mat Nor,Ustaz Ariffin Ibrahim dan Ustazah Tuan Siti Nazifah Tuan Long.

Detik kemuncak program bermula pada 25 Jun malam dengan majlis perasmian penutupan HIKMAH 09’ oleh pegawai Yayasan Pahang Kaherah,Ustaz Fared Bin Mohd Din dan diserikan dengan gimik,acara penyampaian hadiah kepada pemenang,slide show,persembahan nasyid dan jamuan makan.Secara keseluruhannya,HIKMAH 09’ kali ini berjaya mencapai objektifnya antaranya mengeratkan ukhuwah,membentuk semangat berpasukan,dan mencungkil bakat baru.

DEMI HEWI 2 bukti komitmen ahli

Demi HEWI 2 kembali lagi dengan tema yang lebih segar “Revolusi Minda Realisasi Ukhuwah”

Program tersebut merupakan antara proram mega HEWI dan telah berlangsung selama 4 hari dari 17 Mac hingga 20 Mac 2009.Istimewanya DEMI HEWI 2 kali ini bukan sahaja lebih santai dengan tsaqafah,ilmiah serta sukannya, malah tahun ini HEWI telah berkesempatan menganjurkan rehlah ke tempat menarik sekitar Kaherah iaitu Qanatir.

Hasil dari gabungan semua unit HEWI BKMIP,program ini hampir mencapai objektifnya iaitu mengeratkan Ukhuwah sesama ahli Hewi, membentuk semangat berpasukan, menambah tsaqafah, membina kecergasan jasmani dan minda serta mencungkil bakat baru yang terpendam.

Untuk akhirnya, syukran jazilan diucapkan kepada semua adhock pelaksana, ajk dan mereka yang terlibat dalam menjayakan DEMI HEWI 2, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Semoga jasa kalian dinilai dan diganjar di sisi-Nya kelak. aminn…

GENGGAM BARA -Mengupas topik kebersamaan PMRAM,BKAN & DPM

Dewan Tok Kenali, Rumah Kelantan di Haiyyu Sabie' kali ini menyaksikan perpaduan hati dan jiwa yang kental antara anak-anak perantau di bumi Anbiya' yang inginkan kesatuan demi memelihara kepentingan Islam. Demikianlah PMRAM hadir, tiada lain adalah untuk menyahut perintah Allah S.WT dan Rasul-Nya supaya hidup di dalam berjemaah dan satu kesatuan. Seperti firman-Nya di dalam surah An -Nisaa' :59 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman,taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya,dan ulil amri di antara kamu.."


Maka, sangatlah jelas bahawa peranan yang dimainkan PMRAM bukan sahaja menyatupadukan fikrah dan amal ahli-ahlinya, bahkan sedaya upaya menjaga kebajikan dalam setiap sudut.

Saidina Umar r.a juga ada menyatakan:

لا اسلام بلا جماعة ولا جماعة بلا امير ولا امير بلا طاعة

Justeru, pada tahun ini 'KITA PMRAM' diangkat dan diketengahkan sebagai tema utama. Apa yang menariknya, program yang berlangsung pada 5 Mac dan dianjurkan Lajnah & Unit Perancang dan Panitia PMRAM 08 itu tidak hanya menghimpunkan Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM sahaja, malah keseluruhan Ahli Jawatankuasa Tertinggi BKAN & DPM. Antara agendanya adalah pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'KITA PMRAM', bicara pimpinan 'TENTANG KITA' dan talk show 'Kebersamaan PMRAM,BKAN dan DPM' selain GKB 1&2 yang lebih kepada muhasabah dari hati ke hati tentang permasalahan yang dihadapi oleh BKAN, DPM dan PMRAM.

Semoga objektifnya untuk melihat PMRAM kembali gemilang dan utuh menaungi anak-anak Melayu di bumi Musa a.s ini tercapai….

Mabruk kepada Pasangan baru Ustaz Nasrul & Nurul Ain..

3 Mac - HEWI Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) mengucapkan tahniah kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, Ustaz Nasrul dan pasangannya Nurul Ain Rahman. Pasangan tersebut di nikahkan oleh En.Yazid, pegawai Kedutaan bertempat di surau Kompleks Pahang, Haiyyu Asyir pada 26 februari lalu.Pengantin lelaki yang berasal dari negeri Kedah itu diiringi oleh yang dipertua negeri Kedah, Ustaz Abu Bakar bin Razak. Turut menyerikan majlis ialah kehadiran Syeikh Yusri yang merupakan gurunya sendiri.

Walimah yang diadakan pada 2 mac lalu berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran sahabat-sahabat dari kedua belah pengantin serta kedatangan vvip dari kedutaan,juga badan pengurus PMRAM dan juga HEWI PMRAM.

Semoga ikatan pernikahan mereka diberkati & dirahmati Allah taala..amin.

SAMBUTAN MAULID NABI S.A.W

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Di antara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.

Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan di sini.

Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.

Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.

Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

HEWI PMRAM Beri Sumbangan Kepada Warga Palestin

Barisan kepimpinan HEWI PMRAM bersama beberapa orang ahli komuniti Mini Pavilion telah mengambil peluangmengadakan ziarah rakyat Palestin pada 6 Februari yang lalu. Kedatangan merekaturut menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang rakyat Palestin yang dirawat di hospital Mesir.

Hospital yang telah menempatkan mereka ialah Hospital Hilal , Hospital Maahad Naseer serta beberapa buah hospital lain.Bagaimanapun barisan kepimpinan HEWI PMRAMhanya berpeluang untuk menziarahi 2 buah hospital sahaja.

Sumbangan yang diberikan adalah berupa wang dan makanan. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Saudari Israk, seorang warganegara Palestin yang merupakan pelajar Tahun 4, Kuliah Perubatan di Universiti Kaherah.

Suasana sedih menyelubungi kami apabila melihat kanak-kanak, wanita dan lelaki yang turut menjadi mangsa kekejaman Israel. kunjungan kami turut dipesan supaya menyebarkan agama Islam sebaik-baiknya di Malaysia berpandukan al Quran dan as Sunnah.

Apa yang mengkagumkan kami apabila dapat bertemu dengan seorang wanita yang berbangga menceritakan tentang anaknya yang syahid di medan peperangan. Tanpa segan silu beliau menunjukkan gambar beserta wasiat anaknya sebelum melakukan amalan istisyhadiah.

Sesungguhnya rombongan ini memberi kesan kepada hati-hati kami supaya sentiasa berjuang untuk menegakkan kalimahNya. -