DEMI HEWI 2 bukti komitmen ahli

Demi HEWI 2 kembali lagi dengan tema yang lebih segar “Revolusi Minda Realisasi Ukhuwah”

Program tersebut merupakan antara proram mega HEWI dan telah berlangsung selama 4 hari dari 17 Mac hingga 20 Mac 2009.Istimewanya DEMI HEWI 2 kali ini bukan sahaja lebih santai dengan tsaqafah,ilmiah serta sukannya, malah tahun ini HEWI telah berkesempatan menganjurkan rehlah ke tempat menarik sekitar Kaherah iaitu Qanatir.

Hasil dari gabungan semua unit HEWI BKMIP,program ini hampir mencapai objektifnya iaitu mengeratkan Ukhuwah sesama ahli Hewi, membentuk semangat berpasukan, menambah tsaqafah, membina kecergasan jasmani dan minda serta mencungkil bakat baru yang terpendam.

Untuk akhirnya, syukran jazilan diucapkan kepada semua adhock pelaksana, ajk dan mereka yang terlibat dalam menjayakan DEMI HEWI 2, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Semoga jasa kalian dinilai dan diganjar di sisi-Nya kelak. aminn…

GENGGAM BARA -Mengupas topik kebersamaan PMRAM,BKAN & DPM

Dewan Tok Kenali, Rumah Kelantan di Haiyyu Sabie' kali ini menyaksikan perpaduan hati dan jiwa yang kental antara anak-anak perantau di bumi Anbiya' yang inginkan kesatuan demi memelihara kepentingan Islam. Demikianlah PMRAM hadir, tiada lain adalah untuk menyahut perintah Allah S.WT dan Rasul-Nya supaya hidup di dalam berjemaah dan satu kesatuan. Seperti firman-Nya di dalam surah An -Nisaa' :59 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman,taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya,dan ulil amri di antara kamu.."


Maka, sangatlah jelas bahawa peranan yang dimainkan PMRAM bukan sahaja menyatupadukan fikrah dan amal ahli-ahlinya, bahkan sedaya upaya menjaga kebajikan dalam setiap sudut.

Saidina Umar r.a juga ada menyatakan:

لا اسلام بلا جماعة ولا جماعة بلا امير ولا امير بلا طاعة

Justeru, pada tahun ini 'KITA PMRAM' diangkat dan diketengahkan sebagai tema utama. Apa yang menariknya, program yang berlangsung pada 5 Mac dan dianjurkan Lajnah & Unit Perancang dan Panitia PMRAM 08 itu tidak hanya menghimpunkan Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM sahaja, malah keseluruhan Ahli Jawatankuasa Tertinggi BKAN & DPM. Antara agendanya adalah pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'KITA PMRAM', bicara pimpinan 'TENTANG KITA' dan talk show 'Kebersamaan PMRAM,BKAN dan DPM' selain GKB 1&2 yang lebih kepada muhasabah dari hati ke hati tentang permasalahan yang dihadapi oleh BKAN, DPM dan PMRAM.

Semoga objektifnya untuk melihat PMRAM kembali gemilang dan utuh menaungi anak-anak Melayu di bumi Musa a.s ini tercapai….

Mabruk kepada Pasangan baru Ustaz Nasrul & Nurul Ain..

3 Mac - HEWI Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) mengucapkan tahniah kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, Ustaz Nasrul dan pasangannya Nurul Ain Rahman. Pasangan tersebut di nikahkan oleh En.Yazid, pegawai Kedutaan bertempat di surau Kompleks Pahang, Haiyyu Asyir pada 26 februari lalu.Pengantin lelaki yang berasal dari negeri Kedah itu diiringi oleh yang dipertua negeri Kedah, Ustaz Abu Bakar bin Razak. Turut menyerikan majlis ialah kehadiran Syeikh Yusri yang merupakan gurunya sendiri.

Walimah yang diadakan pada 2 mac lalu berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran sahabat-sahabat dari kedua belah pengantin serta kedatangan vvip dari kedutaan,juga badan pengurus PMRAM dan juga HEWI PMRAM.

Semoga ikatan pernikahan mereka diberkati & dirahmati Allah taala..amin.

SAMBUTAN MAULID NABI S.A.W

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Di antara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.

Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
Rasulullah s.a.w. telah dilahirkan di sini.

Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.

Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.

Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

HEWI PMRAM Beri Sumbangan Kepada Warga Palestin

Barisan kepimpinan HEWI PMRAM bersama beberapa orang ahli komuniti Mini Pavilion telah mengambil peluangmengadakan ziarah rakyat Palestin pada 6 Februari yang lalu. Kedatangan merekaturut menyampaikan sumbangan kepada beberapa orang rakyat Palestin yang dirawat di hospital Mesir.

Hospital yang telah menempatkan mereka ialah Hospital Hilal , Hospital Maahad Naseer serta beberapa buah hospital lain.Bagaimanapun barisan kepimpinan HEWI PMRAMhanya berpeluang untuk menziarahi 2 buah hospital sahaja.

Sumbangan yang diberikan adalah berupa wang dan makanan. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Saudari Israk, seorang warganegara Palestin yang merupakan pelajar Tahun 4, Kuliah Perubatan di Universiti Kaherah.

Suasana sedih menyelubungi kami apabila melihat kanak-kanak, wanita dan lelaki yang turut menjadi mangsa kekejaman Israel. kunjungan kami turut dipesan supaya menyebarkan agama Islam sebaik-baiknya di Malaysia berpandukan al Quran dan as Sunnah.

Apa yang mengkagumkan kami apabila dapat bertemu dengan seorang wanita yang berbangga menceritakan tentang anaknya yang syahid di medan peperangan. Tanpa segan silu beliau menunjukkan gambar beserta wasiat anaknya sebelum melakukan amalan istisyhadiah.

Sesungguhnya rombongan ini memberi kesan kepada hati-hati kami supaya sentiasa berjuang untuk menegakkan kalimahNya. -