April 4, 2008

MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN

Fatwa-Fatwa Pengharaman Rokok

Terdapat beberapa jumlah fatwa telah dikeluarkan mengenai rokok, antaranya:


1. Tersebut di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai benda yang halal yang paling buruk, di mana ia boleh mengkhayalkan dan berlakunya pembaziran harta, dan ia bukanlah menjadi pilihan makanan atau hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Telah difatwakan mengenai pengharamannya oleh para ulama tasauwuf seperti Al-Qutb Sayyidina Abdullah Al-Haddad, Al-‘Allamah Ahmad Al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat mereka berdua dan ulama yang lain yang sependapat dengan mereka. Bahkan Al-Habib Al-Imam Al-Husain bin Asy-Syeikh Abi Bakr bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras mengenai dengan tembakau. Beliau (Al-Habib) mengatakan: “Aku khuatir orang yang tidak bertaubat dari merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan suu’ al-khatimah (mati yang berkesudahan buruk).

2. As-Sayyid Al-‘Allamah Umar Al-Bashri Rahimahullahu Ta‘ala dalam fatwanya:
“Kaedah-kaedah yang dipakai oleh para ulama kita ketika menyatakan haramnya sesuatu makanan dalam bab al-ath‘imah ialah makanan yang boleh membawa kepada mabuk atau memudaratkan akal atau tubuh badan, maka memakan benda yang memabukkan adalah haram, kerana ia memabukkan, dan memakan makanan yang memudaratkan akal juga haram, kerana mudaratnya itu. Begitu juga jikalau seseorang membuat pengakuan bahawa dia tidak menemui apa-apa manfaat dalam makanan itu dari semua segi, maka elok makanan berkenaan diharamkan ke atasnya, kerana yang demikian itu berlaku pembaziran harta. Pembaziran harta tidaklah ada bezanya di antara membuangnya ke laut atau membakarnya dan sebagainya yang dikira sebagai membuang-buang harta itu. Manakala yang lainnya adalah halal, kerana yang muktamad, bahawa asal sesuatu benda itu halal, apalagi bagi orang yang menjadikannya sebagai ubat.”
“Apa yang disebutkan di atas, begitulah juga hukum yang berlaku kepada tembakau (rokok). Salah satu sifatnya ialah baunya yang busuk. Maka pendapat yang rajih (kuat), hukumnya adalah haram kerana kotornya…”

3. Al-Imam Al-Akbar Mahmud Syaltut, Bekas Syeikh Al-Azhar, Mesir menyebutkan di dalam fatwanya: “Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun ia mempunyai berbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga kepada orang lain yang tidak merokok.”

“Para doktor telah menganalisa kandungan komponen-komponen tembakau dan mereka menemui adanya bahan racun di dalam kandungan tembakau itu, di mana racun ini boleh membunuh (melenyapkan) kebahagiaan dan kegembiraan seseorang walaupun secara perlahan.”

“Jika demikian halnya, tidak diragukan lagi bahawa menghisap tembakau adalah suatu yang menyakiti dan memudaratkan. Dalam pandangan Islam, sesuatu yang menyakiti dan memudaratkan itu adalah keji yang mesti dijauhi.”

“Di samping itu, apabila kita tinjau wang yang dibelanjakan untuk tembakau, kita mendapati bahawa perokok lebih memerlukan wang berkenaan, atau dia sepatutnya menggunakannya kepada perkara lain yang lebih baik dan berfaedah. Dalam pandangan Islam, menghabiskan wang dengan cara yang sedemikian itu adalah dilarang dan tidak harus.”

No comments:

Post a Comment