November 22, 2009

Kalam Naib Pengerusi Hewi BKMIP Sesi 2009/2010

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله وكفى بالله شهيدا. أشهد أن لااله الاالله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله. اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه أجمعين.

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat iman, islam, kesatuan dan kebersamaan bagi meneruskan lagi agenda dakwah dan melaksanakan amanah daripada Allah SWT di Perlembahan Nil ini. Sejambak selawat dan salam jua dihadiahkan kepada Baginda Rasulullah SAW, para sahabat, penyambung risalah dakwah dan seterusnya para pejuang Addinul Haq di sepanjang zaman dan tempat.

Dalam derap langkah perjuangan mengusung Deen Islami ke puncak asalnya, sering mengundang penat lelah dalam jerih menggapai impian, lantaran paluan ganas badai jahiliah dan rempuhan padu arus ‘ilmani meroboh benteng ‘aqidah, syariat serta syaksiah ummah.

Firman Allah Taala:

ياأيها الذي ءامنوا انتنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم

“Wahai orang-orang yang beriman, Sekiranya kamu menolong (agama Allah), nescaya Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan pendirian kamu” (Surah Muhammad :7)

Walaupun pelbagai mehnah, pahit dan manis bakal dilalui untuk membawa Deen Islami seterusnya mendukung agenda dakwah dan kepimpinan, namun derapan perjuangan tetap diteruskan dengan adanya keyakinan terhadap Janji Ilahi seperti firman diatas.

Bagi memastikan survival dakwah dan kelangsungan BKMIP di Ardil Kinanah berterusan, agenda tarbiyah yang tergendala pada sesi lepas akan diteruskan oleh Pimpinan AJKT BKMIP 09/10.

Dengan membawa Motto BELAJAR & BERAMAL, Pimpinan AJKT BKMIP 09/10 menggembleng tenaga bagi memastikan misi Tarbiyah dan Thaqafah dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa.Walaupun begitu ia perlu digarapkan bersama bukan sahaja diperingkat AJKT BKMIP malah perlu mendapat kerjasama daripada semua ahli disamping kita mempergiatkan Da’wah Fardhiah dan ‘Al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar. Senstiviti terhadap permasalahan yang berlaku juga perlu dipupuk dikalangan mahasiwa/i agar perjalanan budaya mahmudah mekar berkembang di Perlembahan Nil ini.

Mahasiswa pemangkin harapan Ummah, begitu besar tanggungjawab kita selaku yang pelajar malah kita juga merupakan pencorak generasi akan datang. Kecemerlangan akademik adalah satu kayu ukur utama di mata masyarakat. Lebih-lebih lagi amanah ilmu yang terpundak di bahu kita merupakan satu wasilah untuk memperkembangkan dakwah seterusnya mengaplikasikan segala teori yang kita dapati di dewan kuliah.

Konsep pembelajaran yang teratur dan bermotivasi adalah satu usaha untuk mencapai kejayaan. Berkata Imam ‘Atoillah dalam syairnya, “Di antara alamat kejayaan di akhir adalah kembali kepada Allah pada permulaanya. Barangsiapa yang gemilang awalnya nescaya gemilang pada akhirnya.”

Tuntasnya,bagi menggarap ilmu dan kecemerlangan di kalangan ahli, BKMIP akan mengambil beberapa langkah dan inisiatif antaranya mewujudkan Study Group, menyusun kelas-kelas Tutorial, mengadakan program berbentuk motivasi, menganjurkan Night Prep, dan sebagainya.Usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk memastikan peratusan kecemerlangan akademik di kalangan mahasiswa/i lebih memberangsangkan semua pihak.

Konklusinya, saya selaku Naib Pengerusi HEWI sesi 09/10 mengharapkan kepada semua agar dapat menggembleng tenaga bagi menjayakan usaha-usaha murni ini. Tanpa semua ahli, BKMIP tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan dakwah di Perlembahan Nil ini. Seterusnya jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penaung, Pegawai Yayasan Pahang, Mantan AJKT BKMIP 08/09, Saff Kepimpinan AJKT BKMIP 09/10 dan seluruh mahasiswa/i di atas sokongan, dokongan dan keprihatinan kalian selama ini. Semoga usaha kalian memberi manfaat yang berterusan. Syukran Jazilan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment